Friday, August 27, 2010

35 petua jadi pelajar cemerlang - Dr Fadzilah Kamsah

Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    1. kita ingat 10 % apayang dibaca
    2. kita ingat 20% apa yang didengar
    3. kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    4. kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    5. kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

    ...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....

  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    1. pastikan cahaya adalah terang
    2. kurangkan gangguan bunyi
    3. tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    4. tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    5. kerusi dan meja menghadap kiblat
    6. jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    1. memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    2. menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    3. mengingat kembali (recall)
    4. menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    1. persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    2. pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    3. belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    4. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    1. duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    2. memberikan tumpuan sepanuhnya
    3. menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    4. menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji
    1. cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    2. siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
    3. duduk tegak dikerusi yang selesa
    4. baca doa penerang hati
    5. baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    6. fikir dan ingat kembali isi utama
    7. catat/lakar
    8. semak semula ketepatan maklumat
    9. ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    10. buat rumusan
    11. jawab soalan
    12. tampal maklumat yang rumit di dinding
    13. baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    1. jangan makan kepala ikan
    2. jangan makan organ dalaman
    3. jangan minum semasa makan
    4. jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    5. jangan melihat kemaluan
    6. jangan melihat buih
    7. jangan membaca nama pada batu nisan
    8. banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    9. banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    10. banyakkan makan kekacang
    11. pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    12. jangan makan sehingga terlalu kenyang
    13. jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    1. tampal nota-nota penting di dinding
    2. tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    3. gunakan kaedah akronim
    4. reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    5. pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    1. mempunyai jadual belajar
    2. patuh kepada jadual
    3. buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    1. taat kepada Allah
    2. mendirikan sembahyang
    3. menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    4. hormati & sayangi guru
    5. bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    6. suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    7. membantu rakan yang memerlukan
    8. berdoa dan bersyukur kepada Allah
    9. sentiasa bertawakal
    10. mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja.

ciri2 pelajar cemerlang

1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri.

2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.

4. Membuat persediaan awal dalam menghadapi sebarang peperiksaan.

5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah atau pihak kementerian.

6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi.

7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah

8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu.

9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas.

10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar.

11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran.

12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari.

13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan.

14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.

15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.

16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.

17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.

18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran.

19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.

22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.

24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.

25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat akan melahirkan pemikiran yang lancar.

26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar.

28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.

32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Thursday, August 26, 2010

Generasi masa hadapan


Anak-anak merupakan permata negara. Namun senario yang berlaku masa sekarang iaitu isu-isu pembuangan bayi secara berleluasa seolah-olah menidakkan masa depan anak-anak tersebut..

Siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini???

Jangan salahkan ibu mengandung seandainya anak yang dilahirkan cacat atau tidak sempurna..
Tetapi kita seharusnya menyalahkan ibu yang mengandung kemudian membuang bayi tersebut setelah lahir..

Bagaimana pula dengan lelaki yang menyalurkan sperma sehingga terjadinya bayi itu???
Kita tak boleh cari siapa pelakunya sbb pelakunya bukan seorang..
Terlalu ramai lelaki yang berani menyalurkan sperma kepada perempuan..
Namun mereka sebenarnya pengecut kerana tidak berani ber tanggungjawab ke atas bayi yang mereka sendiri 'buat'..

lelaki oh lelaki...
perempuan oh perempuan...

kedua-duanya salah ke???

Memangla kan..
Panas hati betul bila tengok bayi2 ni dibuang..


dorang ni tiada peri kemanusiaan ke..
binatang pun takkan sanggup buang anak sendiri.
so, bolehla kita katakan dorang ni lebih teruk daripada binatang kan..
saya rasa semua sokong..

jadi kita sama-samalah jangan buat mcm dorang ni..
kesian kat bayi tu kan..

Kaunseling

  • Proses perhubungan atau interaksi yang professional untuk membantu secara sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh berlansdaskan etika kaunseling.
  • Pendekatan psikologi dan kaunseling merupakan tindakan yang perlu dilaksanakan dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang menekankan aspek berikut:-
    1. Pembangunan
    2. Pencegahan
    3. Pemulihan

OBJEKTIF PERKHIDMATAN KAUNSELING
Perkhidmatan bertujuan menolong anda untuk :

  1. Memberi dan menyediakan program psikologi untuk individu membuat perubahan dengan mempertingkatkan keupayaan mengurus emosi, tingkah laku dan pemikiran.
  2. Mengenal dan memahami diri sendiri tentang kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri.
  3. Membuat penyelesaian peribadi, sosial, emosi dan kerjaya dengan persekitaran di dalam dan di luar pejabat.
  4. Mendedahkan bakat, minat dan kelebihan-kelebihan diri yang terpendam untuk meningkatkan konsep kendiri.
  5. Berfikir secara rasional dan bertindak secara berkesan di dalam membuat keputusan untuk mengatasi persoalan-persoalan yang dihadapi.
  6. Membentuk tabiat membiasakan belajar dengan baik dan berkesan.
  7. Membentuk ciri-ciri akhlak yang baik untuk menjadi individu yang berintegriti.
  8. Merancang masa hadapan yang sesuai dengan kemampuan dan matlamat hidup.

DIMANAKAH PERKHIDMATAN KAUNSELING DIJALANKAN ?
Pertemuan anda dengan kaunseling akan diadakan di dalam bilik kaunseling yang selesa.
Kaunselor Anda Adalah Seorang Yang:-

  1. Sedia mendengar semua persoalan anda.
  2. Menerima anda tanpa syarat.
  3. Menerima dan merahsiakan apa yang ada perkatakan.
  4. Menghormati anda sebagai individu.
  5. Sedia berjumpa anda bila-bila masa.

BAGAIMANA PERKHIDMATAN INI DIJALANKAN
Perkhidmatan ini dijalankan secara kaunseling individu atau kaunseling kelompok.
Kaunseling Individu : pertemuan anda dengan kaunselor anda
Kaunselor Kelompok : pertemuan anda dengan beberapa rakan yang mempunyai persoalan yang sama dengan kaunselor anda.

PROGRAM

  1. Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAM)
  2. Mentoring
  3. Program Pencegahan
  4. Kempen Kesedaran
  5. Program Peningkatan Kendiri

Indahnya Ramadhan



Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



KELEBIHAN BULAN RAMADAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, ia juga menjadi penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah Al-Baqarah: 185)

Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatul-qadr yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama’ Lailatul-qadr itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan khasnya malam-malam pelikurannya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Lain-lain keistimewaan bulan Ramadhan itu sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”

(Shahih Ibnu Khuzaimah)

Sementara kesabaran itu pula ganjaran pahala tanpa perhitungan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

(Surah Az-Zumar: 10)

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi peringatan dalam hal ini sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga.”

(Ditakhrijkan oleh Ibnu Majah)



MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:

1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya:

Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”

(Surah Al-Ma’idah: 42)

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).

5) Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.

Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka dia terlindung daripada kerajaan langit.

6) Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Oleh kerana itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang taqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: 183)

PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA

Di antara huraian atau maksud “Supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halalpun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketaqwaan.

Mudah-mudahan kelebihan puasa sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah ‘azzawajalla berkata: “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada maksud hadis di atas diharapkan akan mendorong seseorang itu untuk menghidupkan Ramadhan supaya tercapai pula keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

fadilat ramadhan

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Wednesday, August 18, 2010

apa2 je la...

hari ni dah nak masuk sepuluh ari puasa..apa yang telah kita sumbangkan untuk diri kita sendiri dan apa pula yang kita harapkan daripada bulan mulia ini..kita banyak berharap semoga Ramadhan membawa keberkatan kepada kita dan semoga kita menjadi lebih baik daripada bulan2 sebelumnya dan tahun2 sebelumnya..tapi kenapa kita hanya mengharapkan 'itu' semasa tibanya bulan Ramadhan sahaja..mungkin disebabkan kemuliaan bulan Ramadhan..tapi adakah itu bermakna bahawa kita hanya mengharapkan yang terbaik pada bulan ramadhan sahaja..setiap bulan Ramadhan pada setiap tahun kita penuhi dengan harapan 'itu'..tapi apakah kita telah cukup berusaha untuk mencapainya.????